Refleksi minggu keempat
Tugasan minggu keempat mengkehendaki kami mencari bahan-bahan sastera iaitu mengenai prosa dan puisi tradisional dan moden, bahan tatabahasa iaitu morfologi dan sintaksis serta bahan berkaitan ilmu-ilmu dalam bidang lain iaitu pendidikan agama dan moral, matematik, sains, geografi, sejarah, kesihatan dan pendidikan. Segala maklumat yang diperlukan ini boleh dimuat turun daripada internet.
Untuk itu, saya telah mencari dan memuat turun bahan-bahan yang diperlukan daripada laman internet. Subjek bahasa Melayu sekolah rendah kadangkala turut menyerapkan ilmu dalam bidang lain agar murid-murid mempunyai pengetahuan yang lebih luas dan menggalakkan mereka membaca. Penerapan ilmu dalam bidang lain ini juga merangsang murid berfikir secara kritis dan kreatif.
Melalui tugasan ini juga, saya dapat memahami dengan lebih jelas kategori sastera iaitu prosa dan puisi yang dibahagikan kepada bentuk tradisional dan moden. Prosa tradisional termasuklah cerita penglipur lara, cerita jenaka, epik dan cerita asal-usul manakala prosa moden adalah seperti cerpen, novel dan drama. Puisi tradisional pula adalah seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan nazam manakala sajak merupakan contoh puisi moden.
Aspek tatabahasa terbahagi kepada morfologi dan sintaksis. Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata, pembentukan kata dan golongan kata. Sintaksis pula ialah kajian pola-pola yang menetapkan bagaimana perkataan-perkataan digabungkan bagi membentuk ayat. Bidang kajian sastera dan tatabahasa ini sememangnya harus difahami dan dikuasai oleh kesemua bakal-bakal guru bahasa Melayu. Oleh itu, bahan-bahan yang telah saya perolehi ini sudah tentu amat berguna pada masa akan datang.
Jumiati Binti Yassin
PISMP BM Kump. 2