Refleksi keseluruhan
Syukur ke hadrat Ilahi atas izin dan limpah kurnia-Nya, akhirnya saya berjaya menyempurnakan Kerja Kursus BMM 3105, Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer ini. Sejuta penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah pembimbing, Encik Mohd Firdaus Bin Abd. Salam atas segala tunjuk ajar dan bimbingan yang telah beliau berikan. Melalui tunjuk ajar daripada beliau, pelbagai kemahiran dalam ICT ini telah saya kuasai. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan sekelas yang tidak lokek dalam berkongsi ilmu dan kemahiran yang mereka miliki dalam aspek pembinaan tapak pembelajaran iaitu pengaplikasian TMK dalam P&P bahasa Melayu sekolah rendah serta pembinaan laman sesawang ini.
Tugasan kerja kursus projek BMM 3105 ini melibatkan aplikasi pelbagai kemahiran ICT. Justeru, pelbagai aspek kemahiran dalam aplikasi ICT yang telah berjaya saya kuasai sepanjang tempoh melaksanakan kerja kursus projek ini. Segala kemahiran yang telah saya pelajari sememangnya amat berguna sebagai seorang bakal guru. Hal ini kerana ia seiring dengan keperluan pendidikan masa kini yang memerlukan guru-guru berkebolehan dalam kemahiran ICT dan tahu perihal teknologi dalam pendidikan. Justeru, saya telah mengambil peluang dengan sebaik-baiknya dalam pembelajaran subjek BMM 3105 ini iaitu dengan mempelajari serta meneroka dengan seluas-luasnya kemahiran dan pengetahuan yang diterapkan dalam skop kandungan kursus ini.
Antara kemahiran yang telah berjaya saya kuasai termasuklah kemahiran membina bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk persembahan power point yang interaktif. Sebelum ini, pengetahuan yang saya miliki dalam aspek pembinaan power point hanyalah pengetahuan dan kemahiran asas yang mudah. Melalui pelaksanaan tugasan ini, saya telah banyak mempelajari perkara-perkara baru. Ternyata, pembinaan bahan menggunakan microsoft power point boleh menjadi jauh lebih menarik sekiranya kita rajin meneroka dan mempelajarinya. Buktinya, untuk menepati kehendak soalan tugasan, saya mula mengkaji dan bertanya kepada rakan-rakan mengenai pelbagai aspek pembinaan power point. Antaranya termasuklah pembinaan hyperlink iaitu dapat beralih ke slaid yang lain melalui ikon-ikon yang dimasukkan. Selain itu, pelbagai animasi yang menarik boleh di-set-kan bagi menghasilkan persembahan yang lebih menarik.
Selain itu juga, salah satu kemahiran yang telah saya kuasai ialah pembinaan laman sesawang. Tujuan utama pembinaan laman sesawang ini adalah sebagai perkongsian ilmu berkenaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sekolah rendah mengikut format yang dikehendaki dalam setiap tugasan amali mingguan BMM 3105. Melalui pembinaan laman sesawang ini, saya memperoleh pengalaman baru iaitu dengan mengendalikan serta mencorakkan laman sesawang ini mengikut kehendak saya sendiri. Penguasaan kemahiran membina laman sesawang ini akan saya manfaatkan untuk berkongsi pelbagai ilmu. Laman sesawang mempunyai kepentingan yang nyata apabila ia berperanan sebagai satu medan perkongsian ilmu antara pengguna-pengguna internet tidak kira di mana mereka berada. Pengguna-pengguna lain boleh memuat turun contoh bahan yang telah saya muat naik sendiri ke dalam laman ini. Perkongsian bahan menjadi lebih mudah dan cepat.
Kesimpulannya, segala ilmu dan kemahiran yang telah saya kuasai sepanjang melaksanakan kehendak tugasan BMM 3105 ini akan saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Sebagai seorang bakal guru, masih banyak ilmu serta kemahiran yang perlu saya cari dan pelajari sebagai persiapan sebelum bergelar seorang guru terlatih kelak. Subjek BMM3105 ini sememangnya banyak memberi manfaat kepada guru-guru pelatih kerana skop kandungannya yang menekankan kemahiran dalam aspek ICT serta penguasaan ilmu teknologi.
Jumiati Binti Yassin,
PISMP BM Kump. 2